Monday, July 19, 2010
Emas Logam Matahari
Barangkali di dunia hari ini, manusia lebih banyak memperkatakan tentang emas jika dibandingkan dengan masa-masa lampau. Ini kerana, emas telah menjadi asas mata wang dunia yang paling kontroversial dan mempunyai banyak kisah-kisah menarik di belakangnya.
Emas telah menawan hati manusia sejak mula ia ditemui. Dari sejarah, kita tidak pernah dinyatakan bagaimana dan bila logam berharga ini ditemui.
Orang-orang asli Indian di Mexico menggelarkan emas sebagai Logam Matahari kerana mereka menyembah matahari dan emas sebagai logam mulia yang melambangkan matahari yang mereka sembah.
Orang-orang Indian Purba yang mendiami Amerika Selatan dan Amerika Tengah dianggap sebagai antara kelompok manusia yang terawal menemui emas. Kenyataan ini berdasarkan kepada kajian yang dilakukan oleh Francisco Pizarro dalam tahun 1534 yang telah bertemu dengan salah sebuah Istana Matahari di Peru.
Munurut Pizarro, di dalam taman itu terdapat empat buah patung binatang (dari jenis berbulu lebat) yang sangat besar dan sepuluh patung wanita (berukuran manusia) yang mengelilingi sebuah pancuran air.
Semua patung tersebut diperbuat daripada emas yang padat dan bukannya saduran. Tetapi malangnya semua patung-patung emas ini telah dicuri, dipotong kecil dan dibawa ke Sepanyol atau juga mungkin tenggelam di dasar laut akibat kapal yang membawanya karam dipukul ribut.
Sebuah taman lagi telah ditemui di dalam kuil matahari yang lain. Taman ini dihampari dengan 'tanah emas' yang terdiri daripada ketul dan debu-debu emas. Dari 'bumi emas' ini tumbuh pula pokok-pokok jagung dari berbagai jenis.
Batang, daun, buah dan segalanya adalah diperbuat daripada emas tulen yang padat. Di samping itu terdapat pula dua puluh ekor binatang bersama-sama anaknya dan seorang gembala. Semua ini diperbuat daripada emas padat.
Subscribe to:
Posts (Atom)